Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan, Shamsuddin Mustafa berkata, kesedaran tentang peranan mereka untuk menjaga kualiti alam sekitar perlu dipupuk sejak awal.

Katanya, antara pendekatan strategik ialah penganjuran Karnival Epilog Bahasa yang me­ngupas kesan isu perubahan iklim dunia melalui nukilan karya pelajar berbahasa Melayu.

“Penglibatkan 17 buah sekolah kluster kecemerlangan menyertai aktiviti Karnival Epilog Bahasa dapat memupuk semangat cinta alam dan kelesta­rian alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Pengisian aktiviti Karnival Epilog Bahasa yang berteraskan melodi bahasa alam dan pertandingan video pendek bertemakan alam sekitar memantapkan ilmu, kemahiran, idea dan kreativiti murid-murid,” katanya selepas merasmikan karnival itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dekat sini semalam.

Yang hadir sama Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Dr. Mohd Nazip Suratman; Pegawai Pendidikan daerah, Ahmad Nahran Ishak dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat, Latifah Omor.

Shamsuddin menegaskan alam sekitar memainkan peranan pen­ting dalam kehidupan seharian manusia yang mana pencemaran dan pemanasan global antara yang memberi kesan buruk terhadap kemanusiaan sejagat.

Katanya, keindahan alam se­kitar akan pudar jika manusia rakus mencari untung dan tidak menjaga serta memuliharanya.

“Teguran dan sindiran peserta dalam aktiviti berbahasa itu membuktikan mereka semakin prihatin dengan tanggungjawab semua golongan menjaga alam sekitar,” katanya.