MOHD. PAUZI ABU HUSSAINI (kiri) bersama seorang pembantu jurutera pihak berkuasa tempatan meninjau rumah milik Rosmadiah Sabu yang akan dibaik pulih di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Kampung Telemin, Lipis baru-baru ini.

Antara bantuan yang diberikan adalah membaik pulih rumah seorang penduduk miskin, Rosmadiah Sabu, 50, di Kampung Telemin, Padang Tengku dekat sini dengan kos RM13,000.

Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi­ Abu Hussaini berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di bawah Kementerian Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“PPKB adalah program bantuan sosial dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara. MDL telah dan sedang menyelenggara sebanyak 13 projek membaik pulih rumah menerusi peruntukan kerajaan negeri dan kementerian secara berperingkat.

“Rumah Rosmadiah antara projek di bawah bantuan PPKB melibatkan kerja membaiki lantai, atap, bumbung dan ruang­ hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, MDL juga sedang menyiapkan kerja membaik pulih rumah seorang penduduk miskin di Kampung Kemahang, dekat sini dengan peruntukan kerajaan negeri bernilai RM20,000 di bawah projek kampung tradisional.

“Bantuan PPKB dan kerajaan negeri disalurkan kepada pemohon yang layak di daerah ini untuk bantuan kemudahan pembinaan rumah, sewa kediaman dan perniagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Rosmadiah yang bekerja sebagai kerani sebuah kilang di Padang Tengku bersyukur kerana bantuan PPKB mengubah landskap kehidupannya apabila rumahnya yang uzur dibaik pulih menjadi lebih selesa dan selamat.

Dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk ketua kampung, pemimpin setempat dan MDL yang prihatin serta menterjemahkan nilai kemanusiaan membantu golongan miskin membaik pulih rumah mereka.