Rombongan diketuai Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A. Hamid merupakan lawatan 'Penanda Aras' yang membabitkan pertukaran maklumat pengurusan dan perkongsian kepakaran bagi membangunkan semua sektor perniagaan perbandaran ke­dua buah PBT itu.

Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, selain meninjau dan bertukar panda­ngan mengenai pengurusan ma­sing-masing pelawat turut tidak melepaskan peluang meninjau tandas awam MDL di kawasan Rehat dan Rawat Benta yang memenangi pingat emas Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia (ATB1M) peringkat Kebangsaan tahun ini.

“Rombongan juga dibawa me­­ninjau Pusat Sembelihan Ayam dan Unggas (PSAU) yang di­bina dengan kos sebanyak RM490,000 yang mula beroperasi Ogos lalu.

“PSAU yang terletak di Bandar Baharu Kuala Lipis antara premis menitikberatkan elemen perniagaan berlandaskan syariah terutama aspek kebersihan,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, pihak­nya berterima kasih kerana rombongan MDKL memilih MDL untuk meninjau pembangunan PBT dengan difahamkan program penanda aras itu merupakan cadangan daripada pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKPKT) berasaskan kejayaan pengurusannya.

“Kunjungan ini bukan sahaja sebagai penanda aras seperti kebiasaan dilakukan oleh semua agensi kerajaan, tetapi mampu merapatkan hubungan antara keduanya sekaligus sebagai pemangkin perkongsian pengetahuan.

“Kami juga akan melakukan kunjungan balas pada masa akan datang untuk meneruskan tradisi perkongsian serta mempelajari pelbagai bidang khususnya bagi memacu pembangunan Bandar Bersejarah Kuala Lipis yang ceria dan selamat,” jelasnya.