Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzaman, dua usaha itu dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian diingini seperti digigit anjing liar.

“Sehingga kini, empat buah perangkap dipasang dengan meletakkan umpan di lokasi yang banyak terdapat anjing liar dan usaha ini tetap diteruskan walaupun haiwan itu didapati jarang mendekati perangkap berkenaan.

“Kita juga menawarkan ganjaran RM50 bagi seekor anjing liar yang berjaya ditangkap oleh orang ramai. Bagaimanapun, setakat ini sambutannya kurang menggalakkan,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Norizan, MDJ bersendirian dalam usaha menangkap dan mengawal anjing liar di bandar ini kerana Jabatan Veterinar menyerahkan tindakan berkenaan di bawah penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, MDJ akan meneruskan usaha mengawal anjing liar dengan menggunakan dua kaedah berkenaan untuk memastikan kawasan bandar ini sentiasa bersih demi keselesaan pengunjung dan penduduk di bandar ini.

“Kita tidak mempunyai kepakaran menangkap anjing liar, tetapi usaha mengawal haiwan ini tetap diteruskan dan penduduk yang berkemahiran diminta tampil memberi panda­ngan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau meminta pemilik anjing di bandar ini selain memperolehi lesen memelihara haiwan itu perlu bertanggungjawab dengan tidak melepaskan anjing peliharaan berkeliaran kerana perkara tersebut antara syarat yang terkandung dalam peraturan lesen PBT .

Tambahnya, kerjasama pemilik anjing boleh menjamin bandar Jerantut kekal sebagai lokasi terbersih dan selamat sesuai sebagai sebuah bandar transit pelancong Barat di negeri ini.