Anugerah sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tengku Ampuan Hajah Afzan di sini itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Mehander Singh Nahar Singh.

Selain itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak, Kuantan, Zubaidah Mohaidin, 49, dinobatkan sebagai guru Ikon Inovatif sempena sambutan berkenaan.

Mazlan berkata, anugerah tertinggi peringkat negeri itu merupakan pengiktirafan yang bermakna kepadanya yang telah 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini dan berpuas hati kera­na sepanjang tempoh perkhidmatan te­lah melakukan banyak perkara termasuk meninggalkan legasi yang diteruskan sehingga kini.

“Antaranya ialah mewujudkan program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) bagi memartabatkan lagi guru dan usaha memperkasakan pendidikan kepada Orang Asli serta golongan kurang berkemampuan terma­suk golongan gelandangan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mazlan, PKPG yang membolehkan guru tanpa ijazah menyambung pengajian dan mendapat ijazah pendidikan memberikan manfaat kepada lebih 30,000 guru.

Selain itu, katanya, program memperkasakan Orang Asli termasuk pengambilan khas anak Orang Asli ke institusi pengajian tinggi serta pembukaan Pusat Pedagogi Pribumi Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan Lipis yang memfokuskan kaedah mengajar anak Orang Asli.

“Di samping itu, dalam membantu anak gelandangan, saya berjaya merealisasikan penubuhan Sekolah Jalinan Kasih di Kuala Lumpur yang mempunyai kaedah dan konsep berbeza berbanding sekolah biasa,” katanya.

Sementara itu, Zubaidah ber­kata, hasil inovasi melalui kaedah pendikan melalui hiburan dalam pengajaran yang dihasilkannya diguna pakai dalam memastikan murid prasekolah dan kelas pemulihan mengenal huruf dengan cepat.

Beliau bersyukur kerana program yang diperkenalkannya itu bakal diguna pakai di seluruh negara pada masa akan datang.

“Menerusi inovasi ini, kita mencipta kaedah NIBT iaitu Nyayi, Ingat, Baca dan Tulis yang memberikan kesan positif kepada golongan sasaran. Kita menggembirakan kanak-kanak yang belajar dan tidak memberi tekanan kepada mereka,” ujarnya.