Projek menaik taraf itu melibatkan pembinaan dewan terbuka, menggantikan kubah, membina tangga ke tempat letak kende­raan, melebarkan bahagian beranda masjid, membaik pulih tandas, tempat berwuduk, menukar si­ling, karpet, pendawaian elektrik dan kerja-kerja mengecat.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya bersyukur dan gembira kerana projek itu dapat direali­sasikan walaupun sedikit lewat.

Beliau berkata, projek yang bermula pada September 2015 itu dijadual siap pada Julai tahun lalu namun tertangguh akibat beberapa masalah tertentu.

“Saya bersyukur kerana kerja menaik taraf ini dapat disiapkan seterusnya memberi kemudahan kepada hampir 2,000 jemaah dari taman perumahan sekitar bandar ini menunaikan solat termasuk keselesaan beribadat pada hari Jumaat.

“Masjid ini yang dibangunkan pada 1970 beberapa kali dinaik taraf melibatkan pembesaran ruang dan kemudahan tertentu berikutan pertambahan bilangan penduduk beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan replika kunci masjid daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Lipis kepada pengurusan Masjid Sultan Mahmud baru-baru ini.

Yang turut hadir Kadi Lipis, Abu Bakar Ismail dan Imam Besar Masjid Sultan Mahmud, Azraie Mohamed Saballah.

Menurut Abdul Rahman, ahli kariah di bandar ini dan pengunjung diharap dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan keceria­an kawasan masjid serta kemudahan di situ.

Sementara itu, beliau berkata, Pejabat Parlimen Lipis sudah mengemukakan cadangan kepada JPM untuk projek pembinaan sebuah masjid baharu di Bandar Baharu Kuala Lipis yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk beribadah dan pembangunan syi­ar Islam.

“Kita sudah mempunyai tapak yang mana jika cadangan pembinaan masjid baharu ini dapat direalisasikan, mampu memberi keselesaan kepada ahli kariah khususnya dari taman perumahan dan premis perniagaan di kawasan sekitar,” katanya.