Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Masjid Chengal Lempong kini Masjid Tengku Abdullah Al-Haj

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menandatangani plak perasmian
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menandatangani plak perasmian Masjid Tengku Abdullah Al-Haj di Balok, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 9 Mac - Masjid Chengal Lempong, Balok di sini mencatat sejarah tersendiri apabila dinamakan Masjid Tengku Abdullah Al-Haj sempena nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Lebih membanggakan penduduk di situ, pengumuman nama baharu masjid yang berope­rasi sejak Disember lalu itu dilakukan sendiri oleh Tengku Abdullah pada majlis perasmiannya baru-baru ini.

Penasihat Masjid Tengku Abdullah Al-Haj, Shikh Zahari Shikh­ Sulaiman berkata, jawatan kuasa masjid berterima kasih kepada Pemangku Raja Pahang kerana berkenan menamakan masjid tersebut sempena nama baginda.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) Chengal Lempong berkata, masjid yang mula dibina pada 2012 tersebut mampu menampung seramai 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

“Reka bentuk dalaman masjid ini lebih kepada ruangan yang terbuka dan luas bagi menampung jemaah sekitar Cengal Lempong.

“Masjid ini lebih berkonsepkan kepada rekaan moden dan dibina hasil daripada peruntukan khas Pejabat Perdana Menteri,” kata­nya ketika ditemui selepas perasmian masjid berkenaan.

Shikh Zahari berkata, Masjid Tengku Abdullah Al-Haj dibina dengan kos kira-kira RM4 juta dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk bilik pengurusan jenazah, ruang wuduk, tandas, bilik tetamu khas, sudut bacaan serta dapur.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan bagi mengimarahkan masjid itu adalah program tadarus, tilawah al-Quran, majlis berbuka puasa dan ceramah selepas solat Maghrib.

“Ramai umat Islam yang hadir untuk solat berjemaah, malah kuliah agama yang dianjurkan mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya.

Tambahnya, sebelum masjid berkenaan dibina, kira-kira 16,000 penduduk di kawasan sekitar termasuk di taman perumahan menumpang untuk solat di masjid berdekatan.

Sebab itu, katanya, sejak 2009 dia bersama ahli JKKK di situ memperjuangkan masalah ketia­daan masjid di kampung ber­kenaan.

“Selepas mendapat tanah yang sesuai untuk membina masjid, Pejabat Perdana Menteri bersetuju membinanya pada 2013. Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah dan masjid ini kembali dibina pada 2015 sebelum mula beroperasi pada penghujung tahun lalu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain