Junaidah Samsuar, 31, berkata, dia menjual martabak Maggi sejak 2011 dan jualan setiap kali Ramadan memang mendapat sambutan tinggi.

“Sambutan sejak hari pertama sehingga kini memang mengga­lakkan mungkin kerana di Raub ini belum ada lagi peniaga yang menjual makanan seperti ini.

“Dalam tempoh empat hari Ramadan ini, murtabak Maggi setiap hari habis dijual,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Junaidah, idea membuat martabak Maggi tercetus semasa dia dan suami, Irham Kamal Simun berada di Kuala Lumpur dan terlihat terdapat peniaga yang menjual makanan itu yang belum ada lagi di daerah ini.

“Apabila balik ke Raub saya dan suami mencipta sendiri resipi ini dengan bahan rempahnya sendiri,” ujarnya.

Seorang pembeli Sharida Shamsudin, 33, berkata, pada mulanya dia membeli kerana merasakan ia makanan yang unik dan apabila menikmatinya ketika berbuka puasa, ternyata ia sangat enak dan sesuai dengan selera keluarganya.

“Martabak ini memang lazat dan digemari oleh anak saya yang berumur empat tahun, tambah lagi apabila disertakan dengan mayonis,” ujarnya.