Pendakwah antarabangsa, Dr. Sheikh Umar Barghus dari Universiti Aden, Yaman berkata, Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa ke hadapan dalam memperjuangkan kepen­tingan orang Islam seperti nasib masyarakat Palestin dan etnik Rohingya di Myanmar.

“Masyarakat Islam seluruh dunia berbangga dengan Malaysia. Mereka melihat dengan teliti kejayaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

“Malaysia bekerja keras untuk mempromosikan Islam sebagai agama sederhana sekali gus menolak provokasi musuh Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Masjid Sultan Ahmad Shah, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini malam semalam.

Program tersebut dirasmikan Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Yang turut hadir Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah negeri, Yunan A. Samad dan Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Ahmad Nahran Ishak.

Program itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri, Pejabat Agama Islam Daerah Jengka, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Maran.

Sheikh Umar berkata, dalam konteks global, sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai cara hidup perlu diperkasa sebagai cara membentuk jati diri Muslim menghadapi gelombang cabaran zaman moden.

Katanya, pendidikan di rumah merupakan teras kepada pembentukan jati diri rakyat dan pemimpin Muslim yang komited menjaga maruah agama dan umat Islam yang semakin tercalar.

“Generasi muda yang menghayati kesantunan Islam memudahkan pemimpin dan pe­merintah sesebuah negara men­jalankan program pembangunan dengan lancar.

“Hal ini kerana sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan ke­langsungan kecemerlangan sesebuah negara Islam seperti yang dinikmati rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya bersatu sambil menguasai kemajuan teknologi moden yang menjadi medium utama untuk bersaing dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan sosial dan lain-lain.

Katanya, sebarang tindakan mempersenda Islam secara lisan, tulisan atau menerusi media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius oleh umat Islam sendiri.

“Mereka perlu menguasai teknologi terkini kerana menjadi ‘senjata’ untuk membalas sebarang tohmahan, fitnah dan prasangka terhadap Islam,” ­katanya.