Program sehari di Pusat Perkim cawangan Jerantut itu turut melibatkan kehadiran ahli jawatankuasa pengurusan organisasi itu dari setiap daerah untuk mendengar serta menghayati bacaan ayat suci al-Quran menerusi qariah masing-masing.

Setiausaha Perkim daerah, Fasal Jamlus berkata, pertubuhan cawangan itu pertama kali dipilih sebagai tuan rumah majlis tilawah berkenaan yang antara lain bertujuan mengete­ngahkan bakat qariah dalam kalangan saudara baharu.

“Perkim cawangan daerah masing-masing telah mengadakan kelas al-Quran termasuk kemahiran tajwid kepada saudara baharu ini dan inilah masanya bagi mereka diuji serta menunjukkan kebolehan memperdengarkan bacaan ayat dalam kitab suci.

“Program ini juga mengajak kalangan ahli Perkim dan saudara baharu menghayati serta memahami isi al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia dan akhirat selain majlis ini dapat mengukuhkan persaudaraan Islam,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Datuk Ir. Jalaludin Ghazali iaitu wakil Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Yang hadir sama Pengerusi Perkim daerah, Datuk Tarif Abdul Rahman dan Pengerusi Wanita Perkim Jerantut, Datuk Chu Rahimah Mohd. Kawi.

Majlis tilawah al-Quran itu menyaksikan peserta dari Perkim Temerloh, Khadijah Awang Juan menduduki tempat pertama manakala Sarina Abdullah dari Perkim Rompin (kedua) dan Rafidah Abdullah dari Perkim Lipis di tempat ketiga.

Sementara itu, Chu Rahimah berkata, program itu menzahirkan peranan Perkim menerusi usaha dakwah yang dilakukan antaranya mengasah kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan saudara baharu.

Beliau yang pernah dianugerahkan Tokoh Wanita Perkim berkata, majlis tilawah berkenaan antara tanggungjawab jawatankuasa pengurusan Perkim setiap daerah untuk membuktikan usaha pendidikan serta program dakwah dilaksanakan dengan sempurna selari dengan pembangunan syiar Islam.

“Ia juga peluang bagi saudara baharu dalam kalangan wani­ta supaya dapat meneruskan usaha mendidik ahli keluarga ma­sing-masing menguasai al-Quran sekali gus mampu menguatkan iman dan takwa,” katanya.