Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Mu­t­­ta­lib berkata, majikan perlu prihatin dengan membuat caruman tersebut bagi menjamin kehidupan pekerja dan waris mereka jika terlibat kemalangan semasa ber­ulang alik ke tempat kerja.

“Masih terdapat majikan yang belum mendaftar dan mencarum pekerja dengan Perkeso yang ma­na kita memandang serius perkara ini.

“Mencarum dengan Perkeso terbukti banyak faedahnya kepada pekerja jika berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa di kediaman beliau di Kampung Sungai Ling, di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengarah Per­keso negeri, Abu Hurairah Ahmad.

Penyampaian wang tuntutan fae­dah hilang upaya kekal, pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah bernilai RM24,000 kepada empat penerima turut diadakan pada majlis tersebut.

Sementara itu, Abu Hurairah mengingatkan pencarum Perkeso dan waris mereka supaya tidak terperangkap dengan janji orang tengah untuk membuat sebarang tuntutan faedah jika ditimpa kemalangan di tempat kerja.

Menurutnya, Perkeso mene­ri­ma aduan awam termasuk menerusi laman sosial Facebook tentang khidmat orang perantaraan yang kononnya mereka berupaya mendapatkan wang faedah de­ngan cepat.

Katanya, pencarum dan waris harus tahu peranan Perkeso dan prosedur tuntutan faedah kema­langan tanpa memerlukan pera­nan orang tengah yang akan mendapat komisen daripada usaha mereka itu.

“Pencarum atau waris mereka boleh datang sendiri di mana-ma­na pejabat Perkeso. Kami tidak me­lantik mana-mana ejen me­ngu­­ruskan hal berkaitan tuntutan, malah pencarum atau waris digalak berjumpa terus dengan pengurus di semua 50 pejabat cawangan di seluruh negara termasuk tiga di negeri ini,”katanya.