Madrasah yang beroperasi sejak 2011 itu merupakan cawa­ngan Maahad Bahasa dan Ilmu al-Quran (Mabiq) berpusat di Kuantan dan mempunyai seramai 27 pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun dan tiga tenaga pengajar.

Pengetuanya, Mohd. Khairuddin Zakaria berkata, pihaknya memerlukan sumbangan untuk menaik taraf kemudahan premis di situ bagi keselesaan pelajar mendalami pengajian al-Quran, Bahasa Arab dan pelbagai cabang ilmu Islam.

“Masih banyak prasarana yang perlu dinaik taraf termasuk memerlukan sebuah van atau bas untuk pengangkutan pelajar,” katanya ketika ditemui di madrasah itu baru-baru ini.

Menurutnya, dalam masa ini, pelajar Madrasah Al-Fatihah menggunakan dua kereta milik pihak pengurusan madrasah itu khususnya untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Katanya, terdapat kalangan pelajar yang terpaksa berjalan kaki selama 20 minit ke masjid di kampung tersebut dan meme­nuhi undangan majlis tahlil di kawasan sekitar.

“Selain itu, kami berharap pihak berkaitan dapat memasang lampu jalan di sepanjang laluan masuk ke madrasah.

“Ketika pelajar tiada di asrama, pernah berlaku pencerobohan dan kecurian peralatan oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana lokasi laluan masuk ke sini gelap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Genting, Md. Suhaimi Jaafar menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu madrasah tersebut memandangkan pelajar di situ masih berdepan kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan kebajikan mereka.

“Sumbangan ini dapat membantu dalam usaha mengembangkan syiar dakwah Islamiah selain demi keselesaan pelajar di situ,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat 220601261764 atas nama Madrasah Al-Fatihah.