Wan Abdul Wahid Wan Hassan

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, daripada 538 buah institusi pendidikan agama bukan milik kerajaan, 333 buah sudah berdaftar dengan majlis itu.

Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, Muip boleh mengambil tindakan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 Seksyen 113.

“Pendaftaran dengan Muip penting bagi membolehkan kita memeriksa institusi pendidikan agama itu dari segi kelulusan tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat, kurikulum yang diajar serta tenaga pengajar.

“Jika tidak mematuhi syarat, Muip mempunyai kuasa meme­rintahkan institusi terlibat supaya ditutup. Jika enggan kita boleh meminta bantuan agensi keselamatan untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penye­larasan Isu-Isu Keselamatan Premis dan Bangunan Maahad Tahfiz dan Pondok Negeri Pahang di Bilik Mesyuarat Utama Muip di sini, baru-baru ini.

Mesyuarat itu ekoran kejadian kebakaran yang menyebabkan 23 mangsa terkorban di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Wan Abdul Wahid berkata, sebuah panel semakan dan penilai dikenali sebagai Panel Semakan Pendaftaran Sekolah Agama Islam Bukan Milik Kerajaan telah ditubuhkan bagi memperkemas serta meneliti sesuatu permohonan pendaftaran.

“Sesebuah sekolah tahfiz dan pondok perlu ada keupayaan kewangan dalam pengoperasian serta semua institusi tersebut perlu mempamerkan surat kelulusan pendaftaran di premis ma­sing-masing.

“Ibu bapa juga perlu berhati-hati dan berwaspada menghantar anak ke sekolah yang tidak melepasi syarat keselamatan dan ajaran yang bertentangan dengan aliran agama sebenar,” katanya.

Menurutnya lagi, Muip memandang serius perkara itu dan tidak mahu aspek keselamatan diabaikan sehingga menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini pada masa depan.

“Antara manfaat jika berdaftar adalah boleh mendapat bantuan daripada Muip dan kerajaan. Contohnya, kita ada memberikan dana kewangan berjumlah RM200 sebulan kepada setiap pelajar yang institusinya berdaftar dengan kita,” katanya.