Program kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang dengan kerjasama MCA Cawa­ngan Taman Mawar Murni itu bagi memberi kesedaran dalam kalangan penduduk untuk membuat pemeriksaan awal terhadap kanser payudara dan pangkal rahim menerusi ujian pengesanan awal, mamogram dan suntikan vaksinasi Human Papillomavirus (HPV).

Pengerusi MCA Cawangan Taman Mawar Murni, Datuk Lim Chong Ly berkata, penganjuran program kesihatan di taman perumahan itu bertujuan mendidik penduduk bagi mengesan dan mencegah penyakit terutamanya kanser.

“Kita mengambil inisiatif lebih kerap menganjurkan program kesedaran ini termasuk mengesan penyakit tertentu khususnya menerusi ujian mamogram bertujuan meningkatkan kesedaran wanita terhadap pemeriksaan payudara dan pangkal rahim.

“Golongan lelaki juga berpeluang mengikut ujian mengesan penyakit kanser, indeks jisim badan (BMI), tekanan darah, tahap glukosa, kolesterol serta komplikasi kesihatan,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Chong Ly yang juga Ahli Majlis Daerah Jerantut (MDJ) berkata, antara perkhidmatan yang disediakan ialah pemeriksaan payu dara, pendaftaran subsidi mamogram dan ujian pap smear iaitu pengesanan awal kanser pangkal rahim.

“Program ini cukup signifikan untuk menjaga kesihatan khususnya dalam kalangan wanita bagi mengesan kanser payu dara dan pangkal rahim serta memperoleh nasihat bermanfaat daripada pegawai LPPKN yang bertugas di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Pe­nerangan LPPKN negeri, Mazlina Ab. Hamid memuji usaha dilakukan oleh Wanita MCA Taman Mawar Murni dengan menjadi tuan rumah program berkenaan.

Katanya, jika pengesanan awal dilakukan khususnya dalam usia muda, mereka yang menghidap penyakit seperti kanser akan diberi rawatan lebih cepat sekali gus membantu mengurangkan risiko lebih serius.

“Semua peringkat usia penduduk khususnya golongan wanita tidak perlu takut dan segan untuk tampil melakukan ujian saringan serta pemeriksaan awal,” ujarnya.