Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, pemandu lori jenis Isuzu berkenaan, Mohd. Suhaimie Shafiee, 31, mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, sebelum kejadian, lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur hendak menghantar surat khabar ke Pekan Padang Tengku di Lipis.

“Apabila sampai di Kilometer 19, Jalan Lipis-Merapoh kenderaan itu hilang kawalan akibat tergelincir dan jatuh ke bahu jalan sebelah kiri.

“Pemandu telah cuba mengawal kenderaannya naik semula ke atas jalan raya namun kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan sebelum terbalik ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azry Akmar, lori berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan. - UTUSAN ONLINE