Ketiadaan pendapatan tetap apatah lagi terpaksa menanggung rawatan dan perubatan adiknya yang menghidap penyakit kronik, menyebabkan keluarga Nurul Ain pasrah tinggal di rumah yang boleh dianggap sebuah stor.

Malah lokasi rumah kedai lama yang disewa dengan kadar RM200 sebulan itu juga tidak begitu selamat dan kondusif khusus­nya untuk dua anak perempuannya yang berusia tujuh serta lapan tahun kerana kawasan ber­kenaan turut dihuni oleh warga asing.

Namun, penderitaan Nurul Ain berakhir sekelip mata selepas beliau menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib Ahad la­lu.

Sejurus selepas kun­jungan itu, Ismail  meng­hubungi Pejabat Daerah yang akhirnya bersetuju menempatkan keluarga Nurul Ain di Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sejahtera di Kampung Te­lok Melati, di sini bermula semalam.    

Nurul Ain berkata, dia berasa bertuah dan tidak menyangka dapat menduduki rumah yang selesa di PPRT itu tanpa perlu membayar sewa.

“Sebelum ini, mustahil kami dapat menduduki rumah seperti ini kerana suami tidak mempunyai pendapatan tetap dengan hanya mengharapkan upah mela­kukan kerja kampung.

“Jika hendak dibandingkan de­ngan rumah saya dahulu memang jauh berbeza dan saya bersyukur serta berterima kasih kepada Ahli Parlimen Maran yang membantu saya mendapat kehidupan yang selesa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau terkejut melihat kea­daan Nurul Ain dan keluarganya yang tidak sepatutnya tinggal di dalam keadaan yang serba daif.

Keadaan seperti itu, kata beliau, tidak harus berlaku jika semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pengurusan sosial masyarakat berjalan dengan baik.

“Saya melihat keadaan rumahnya tanpa bilik dengan menjaga seorang adik yang sakit yang mana ia tidak patut berlaku apatah lagi dia adalah anak tempatan.

“Saya mahu perkara seperti ini tidak berlaku lagi dan pihak terbabit diharap tidak terlepas pandang,” katanya.