Setiausaha Puspanita daerah, Nur Syafiqa Mohd. Aznan berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan bagaimana proses menghasilkan cetakan mushaf al-Quran yang cukup dikenali sehingga di peringkat antarabangsa.

“Kunjungan ini mampu mene­rapkan pendidikan mengenai tek­nologi pemperosesan pembuatan al-Quran iaitu pembangunan struktur dan motif, pengimbasan struktur dan motif menggunakan perisian AutoCAD, strategi pewarnaan dan lembaran diterap daun emas tulen.

“Lembaran ini pula diwarnakan satu persatu oleh sekumpulan pewarna manakala ayat al-Quran disalin oleh para penulis khat,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Syafiqa, ahli Puspanita juga didedahkan tentang ayat al-Quran yang disemak dan ditasbih, dihantar ke Bahagian Kawalan Penerbitan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri untuk pengesahan, pruf akhir (komputer) dan percetakan (ozalid) sebelum proses percetakan di Kompleks Nasyrul Quran sendiri.

“Lawatan ini bermanfaat dapat menerapkan amalan murni dalam diri dan memberi pengetahuan bahawa penghasilan al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah dan sentiasa memelihara kesuciannya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Puspanita daerah, Noor Izah Salwa Mohd. Noor berkata, program lawatan itu merupakan sebahagian aktiviti modal insan ahli berkenaan khususnya memantapkan lagi akidah menerusi penghayatan al-Quran.

“Kebanyakan ahli kami teruja kerana pertama kali ke situ melihat percetakan al-Quran dan buku agama menggunakan teknologi tinggi serta menjadi kebanggaan kerana institusi ini kedua terbesar di peringkat antarabangsa.

“Hal ini sekali gus menzahirkan usaha kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam menerusi penubuhan institusi yang mampu mencetak bilangan mushaf al-Quran yang banyak untuk diedarkan ke negara lain,” ujarnya.

Tambahnya, program pendidikan itu antara pengisian aktiviti Puspanita selain aspek kebajikan dan sosial ahli tetap diberi keutamaan selari dengan matlamat pertubuhan itu.