Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, jika pendidikan tidak penting, pertubuhan bukan ke­rajaan (NGO) seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak akan ditubuhkan.

“GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil daripada keseda­ran tentang pentingnya bidang akademik dalam kalangan anak-anak Melayu.

“Sebab itu pendidikan merupakan suatu yang penting, tanpa pendidikan kita akan ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan GPMS negeri di Auditorium Kolej Widad di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penasihat GPMS negeri, Datuk Mustapa Long dan Pengerusi GPMS negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong.

Mustaffar Kamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata, dalam Bajet 2018, sektor pendidikan terus diberikan keutamaan oleh kerajaan.

“Sebanyak RM400 juta diperuntukkan dalam Bajet 2018 untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada universiti awam dan RM90 juta bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran.

“Ini menunjukkan Kerajaan Pusat menitikberatkan aspek pendidikan dan anak muda perlu merebut peluang yang disediakan ini,” ujarnya.