Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohd. Fadhil Osman berkata, pelaburan baharu yang telah dipersetujui bernilai hampir RM1 bilion daripada sebuah syarikat dari Dubai itu menjadi platform penting kepada pembangunan lembah tenusu itu.

“Pada masa ini syarikat terbabit telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan pelaburan di lembah tenusu itu dan kita telah menyediakan tapak yang sesuai.

“Pelaburan besar dengan membawa teknologi terkini dari New Zealand yang akan dimulakan pada tahun ini merupakan satu lonjakan besar kepada Lembah Tenusu Muadzam Shah dalam menjadikan Pahang sebagai hab tenusu negara,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Espek Plantation Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengurus Espek Plantation, Zulkifli Mohamad.

Mohd. Fadhil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan berkata, pelaburan baharu berkenaan akan menyaksikan bukan sahaja teknologi penternakan lembu tenusu terkini dibawa masuk tetapi membawa baka lembu berkualiti dari New Zealand.

Katanya, susulan pelaburan itu juga pihaknya akan menambah sekali ganda pengeluaran rumput napier dengan melakukan penanaman di kawasan seluas 202 hektar.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pada masa ini terdapat lebih 1,000 ekor lembu tenusu yang diternak di lembah tenusu berkenaan oleh sebuah syarikat tempatan.

Katanya, operasi lembah tenusu berkenaan berjalan lancar dan syarikat induk yang mengendalikan lembah tenusu itu turut mewujudkan sebuah kilang memproses susu segar.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada kewujudan lembah tenusu berkenaan, pihaknya bercadang melaksanakan sistem payung dengan mana-mana pihak.

“Kita berharap penglibatan dua syarikat induk ini akan memastikan projek ini terus berkembang dan projek payung dapat dilaksanakan dengan penglibatan penduduk kampung yang boleh melibatkan diri menternak lembu tenusu dan sebagainya,” ujarnya.