FRIDIO GELIJA cedera di tangan akibat diserang harimau mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Fridio Gelija, 28, yang melakukan rondaan di hutan berhampiran Kawasan Perindustrian Gebeng mendakwa dia secara tiba-tiba diserang haiwan berkenaan.

Pemuda yang berasal dari Sabah itu berkata, ketika kejadian, dia yang ditugaskan mengawal kawasan perlombongan itu oleh sebuah syarikat dengan menunggang motosikal bagi melakukan rondaan sambil diiringi dua ekor anjing.

“Ketika melakukan rondaan, saya berasa hendak membuang air besar lalu berhenti di kawasan berhampiran Sungai Rasau meskipun terdengar bunyi salakan anjing.

“Selepas itu, tiba-tiba saya di­serang haiwan berkenaan namun dua ekor anjing yang dibawa melawannya yang membantu saya melepaskan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini kelmarin.

Menurut Fridio, dia berlari kira-kira dua kilometer ke rumah pekerja di situ untuk mendapatkan pertolongan dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, dengan bantuan adik dan majikannya, dia dibawa ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zaide Mohamad Zin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan masih menjalankan siasatan.

“Kita tidak dapat mengesahkan lagi haiwan yang menyerang mangsa adalah harimau. Siasatan masih dijalankan,” katanya.