Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah mengenal pasti sebahagian daripada pekebun durian berkenaan yang membuang kulit raja buah tersebut terutama berdekatan perumahan awam, jalan utama Raub-Bentong, laluan Raub-Benta, jalan raya ke pusat pelancongan Bukit Fraser serta beberapa lokasi yang tidak dibenarkan untuk pembuangan sampah.

Paling ketara aktiviti membuang sisa kulit durian itu dikesan berlaku di Jalan Tras, Tranum, Sungai Ruan, Jalan Cheroh dan Jalan Lipis berikutan kebanyakan kebun durian Musang King di kawasan itu berdekatan jalan raya.

Yang Dipertua MDR, Datuk Hamdan Hussin berkata, dalam kejadian semalam, pihak penguat kuasa telah menahan seorang pekebun bersama kenderaan pa­cuan empat roda di Jalan Sempam kerana dipercayai membuang sisa kulit durian Musang King di lokasi yang tidak dibenarkan berdekatan kebun sawit Kampung Tras.

“Dianggarkan ribuan tan metrik kulit durian Musang King dan jenis tempatan lain dibuang berdekatan jalan raya utama dari bandar ini ke Bentong, Benta dan jalan ke pusat pelancongan Bukit Fraser oleh pemilik serta penjual buah ber­kenaan sejak awal musim.

“Senario longgokan timbunan kulit durian berdekatan jalan raya telah mencacatkan pemandangan dan mencemarkan persekitaran sekali gus membantutkan usaha MDR untuk mewujudkan bandar warisan yang selamat serta kondusif,” katanya selepas operasi pemantauan kebersihan kawasan PBT di sini semalam.

Menurut Hamdan, tindakan i menjual durian berdekatan de­ngan jalan raya juga memberi impak gangguan lalu lintas ketika orang ramai memberhentikan kenderaan di hadapan gerai.

“Tabiat buruk ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah mencerminkan kerendahan mentaliti pihak tidak bertanggungjawab yang sesuka hati membuang kulit durian serta sampah di bandar ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Bentong, Mohd. Yusof Ali, 54, berkata, pemilik kebun dan penjual buah durian sepatutnya bertanggungjawab terhadap kebersihan bandar de­ngan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Sekiranya kes pembuangan sampah di merata-rata seperti ini tidak dikawal, sudah tentu akan memberikan gambaran buruk terhadap bandar ini sebagai lokasi pelancongan yang sangat popular dengan hasil durian Musang King,” katanya.