Majlis anjuran ABIM dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu turut dihadiri Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir.

Yang Dipertua ABIM negeri, Hisyamudin Badarudin berkata, wacana berkenaan memberi fokus kepada perpaduan dan mengeratkan lagi ukhuwah khususnya antara umat Islam.

“Program yang melibatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik ini menjadi wadah ilmu dan perbincangan dalam usaha mengukuhkan lagi perpaduan dalam negara.

“Dalam majlis ini juga, kita bertuah dengan kehadiran tokoh ilmuan iaitu Prof. Datuk Dr. Sidiq Fadzil yang merupakan Presiden Kolej Darul Hikmah Kajang yang turut mengupas beberapa isu,” katanya di sini baru-baru ini.

Hisyamudin berkata, program itu mengumpul segala cadangan dalam usaha memastikan perpaduan masyarakat di negara ini dan memartabatkan Islam.

Katanya, pihaknya merancang terus mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang dengan penglibatan pelbagai pihak dan tokoh pemikir.

Sementara, itu Anuar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, program seperti itu seharusnya diperluaskan ke seluruh negara dari semasa ke semasa.

“Saya melihat program ini perlu diperluaskan kerana ia tidak melibatkan politik mempunyai tarikan dan keupayaan yang lebih baik,” katanya.