Pembinaan kolej berkenaan akan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) buat pertama kali yang menyaksikan kerjasama pelbagai pihak. 

Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pembinaan KPTM ketiga di negeri ini selepas Kuantan dan Bera berkenaan dicadangkan pada tahun ini setelah Akademi KPTM Bera dinaik taraf.

“Saya sedang berbincang dengan pengurusan supaya kita dapat membuka cawangan KPTM di Jerantut selewat-lewatnya tahun ini.

“Saya harap pembukaan KPTM ini dapat terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan daerah dan memberikan kemudahan kepada anak-anak muda tempatan melanjutkan pengajian," katanya ketika ditemui pada majlis Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 Parlimen Bera di Dewan Rakan Muda Bera di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ahmad Nazlan, beliau mencadangkan supaya pembinaan KPTM di daerah berkenaan dilakukan secara NBOS melibatkan pelbagai pihak berkaitan yang dapat mengurangkan kos dan meningkatkan kepakaran.

“Kalau dalam bidang pertanian kita ada Institut Bio Teknologi Haiwan Kebangsaan di Bukit Dinding, kita ada pusat pembenihan ikan di Perluk di sini dan kita ada Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak yang boleh kita jalinkan kerjasama. 

“Kolej ini mungkin tidak memerlukan makmal kerana memadai dengan kerjasama tadi, kita gunakan kemudahan ada yang akan menjimatkan kos," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sesuai dengan daerah Taman Negara itu, KPTM ketiga di Pahang tersebut akan memfokuskan kepada bidang pertanian agro teknologi, pelancongan  dan bahasa Inggeris.

Katanya, penekanaan terhadap tiga kursus utama berkenaan memberi manfaat besar kepada potensi pertanian dan pelancongan daerah yang akan terus me­lonjak.