Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebagai permulaan, sebanyak 10 sangkar dengan kira-kira 15,000 ekor ikan patin diternak.

“Pengurusan konsortium ini yang disertai lapan koperasi di daerah ini menyasarkan seba­nyak 50 sangkar ikan dibuka dalam tempoh terdekat.

“Saya harap konsortium ini terus melangkah ke hadapan dan mendapat keuntungan seterus­nya menjadi contoh kepada konsortium lain di negara ini,” kata­nya semasa melancarkan projek penternakan ikan sangkar konsortium berkenaan di Kampung Tanjung Batu, di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Presi­den Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri, Ibrahim Kasah dan Pengerusi Konsortium Ternakan Ikan Pahang, Mohd. Nor Yatim.

Menurut Abdul Fattah, Angkasa akan memberi sokongan kepada konsortium berkenaan agar mereka berdaya saing dan mampu melangkah lebih jauh.

Setakat ini, kata beliau, Angkasa meluluskan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM500,000 kepada konsortium berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan konsortium itu bertepatan dalam memastikan koperasi terlibat terus berdaya saing dan mampu bergerak dengan lebih maju.

“Kewujudan konsortium ini dapat memudahkan lagi bantuan dari segi pemasaran dan pembelian makanan ikan serta benih ikan secara pukal dengan lebih kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nor berkata, sebelum ini, konsortium berkenaan menjalankan penternakan udang putih sebelum melibatkan diri dalam bidang penternakan ikan patin.

“Dengan permintaan tinggi ikan patin di Temerloh, kita yakin bidang penternakan ikan sangkar di Sungai Pahang ini mampu memberi pulangan yang baik dan berterusan,” katanya.