Timbalan Menterinya, Datuk Nogeh Gumbek berkata, pihaknya mendapati konsep penternakan ikan patin dalam sangkar yang belum pernah dilakukan di Sarawak berpotensi dilaksanakan di sungai-sungai di negeri itu.

“Jika sungai-sungai di sini khususnya Sungai Pahang mampu mengembangkan industri ikan patin, saya yakin banyak sungai di Sarawak mempunyai potensi yang baik.

“Pada peringkat awal, kita merancang menghantar kira-kira 30 usahawan ke negeri ini untuk melihat dan mempelajari kaedah penternakan ikan patin ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek ikan dalam sangkar di sini, semalam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussein.

Menurut Nogeh, pihaknya te­lah mengenal pasti sebahagian usahawan yang berminat untuk menternak ikan patin di sungai-sungai di Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mas Gading memberitahu, antara sungai di Sarawak yang berpotensi untuk projek berkenaan adalah Sungai Rejang, Kemena dan Su­ngai Tatau.

“Kementerian khususnya Ja­batan Perikanan akan memberikan bantuan secara berterusan termasuk dari segi teknikal, latihan dan khidmat nasihat kepada usahawan-usahawan terbabit,” kata­nya.

"Kita berharap apabila projek ini berjaya dilaksanakan di Sarawak dapat meningkatkan hasil ikan negara dan seterusnya harga pasaran ikan ini dapat dijual dengan lebih murah," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, industri penternakan ikan negara berpotensi berkembang dengan baik.

Pada masa ini kata beliau, terdapat 23,000 penternak ikan berdaftar di seluruh negara dengan 10 peratus daripadanya adalah penternak ikan sangkar di sungai.