Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan bersetuju memilih kluster Lanchang-Temerloh-Jerantut-Taman Negara sebagai projek perintis di negeri ini.

“Melalui konsep pembangunan kluster ini, destinasi pelancongan bukan sahaja jadi tum­puan, tetapi juga mendapat faedah menerusi pakej yang lebih menyeluruh.

“Perkara ini dapat membantu pembangunan usahawan dan pe­­nyertaan penduduk setempat dalam ekopelancongan selain menjadi nadi kepada usaha penjagaan alam sekitar serta penjaga­an kebersihan dalam kawasan pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Kluster Ekopelancongan Lanchang-Temerloh-Jerantut-Taman Negara di Dewan Pejabat UMNO Temerloh, di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Sharkar, sebelum ini, terdapat tiga projek dalam pelan ekopelancongan negara 2016-2025 iaitu Taiping-Batu Kurau-Bukit Merah di Perak, Sandakan-Kinabatangan di Sabah dan Kuching-Bako-Santubong-Kubah di Sarawak.

Katanya, pemilihan terbaharu Pahang dalam kluster ber­kenaan memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi di negeri ini seterusnya membawa lim­pahan manfaat kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan Pahang dalam kluster tersebut penting kerana ia dijadikan asas kepada cadangan pembangunan pakej, keutamaan projek pembangunan komuniti setempat dan lain-lain.

“Sehubungan itu, saya memohon supaya semua pihak bekerjasama dengan memberi maklum balas dan cadangan bagi menjaya­kan pembangunan ekopelancongan di sini.

“Pembangunan ini perlu dijalankan melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama antara agensi, pihak swasta, institusi pengajian tinggi, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sementara itu, Mohd. Sharkar berkata, pada masa ini, terdapat lebih 20 destinasi ekopelancong­an utama di negeri ini yang perlu terus dipertahan dan dipromosi.