Baginda mengingatkan supa­ya tiada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan perasaan kurang selesa dengan bertindak mewujudkan ketegangan dan permusuhan sehingga boleh menjejaskan semangat permuafa­katan serta perpaduan dalam kalangan rak­yat.

“Semua pihak perlu mengetepikan sebarang sentimen dan emosi serta perlu terus mengekalkan keharmonian, saling menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Keharmonian yang tercipta ini adalah hasil toleransi antara kaum dan agama,” titah baginda dalam majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan bantuan di Masjid Kampung Paya Bungor dekat sini semalam.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Abd. Rahim Muda.

Dalam majlis yang disertai kira-kira 500 penduduk itu, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang hadir.

Tengku Abdullah turut me­ngingatkan semua pihak agar tidak terlalu ghairah mengejar agenda tertentu sehingga me­ngorbankan perpaduan negara dan mengambil jalan pintas de­ngan mempolitikkan setiap aspek kehidupan.

Tindakan sedemikian, titah baginda, boleh membawa kepada kehancuran negara dan menyebabkan kehilangan apa yang dimiliki pada masa ini.