Sungai itu dikesan mulai keruh oleh pemandu pelancong dan penunjuk arah, Mohammad Shahrizal Dollah, 30, ketika membawa sekumpulan pendaki ke Gunung Tapis pada 16 Februari lalu yang terkejut melihat perubahan di tapak perkhemahan kedua ber­kenaan.

Katanya, kali terakhir dia berkunjung ke situ pada Oktober lalu dengan keadaan sungainya masih jernih manakala kawasan hutan belum diteroka dengan kegiatan pembalakan.

“Namun pada 16 Februari lalu, keadaan berubah apabila air su­ngai menjadi keruh dan tiada lagi ikan tengas yang menjadi tarikan utama pelancong. Sebahagian pokok pula sudah ditebang.

“Pendaki yang mengikuti saya kecewa kerana gambaran diberikan sebelum ini berbeza berbanding apa mereka lihat iaitu kesan pembalakan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah ke Sungai Hulu Daguk hari ini.

Md. Sohaimi mengadakan lawatan berkenaan selepas keadaan terkini di Sungai Hulu Daguk ditularkan di media sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap khazanah alam itu menerima nasib sama seperti di Merapoh, Lipis.

Mohammad Shahrizal berkata, dia bimbang sekiranya pembalakan diteruskan akan menjejaskan sektor pelancongan di Sungai Lembing yang menjadi antara punca pendapatan utama penduduk tempatan sepertinya.

“Jika boleh, jangan ada pembalakan lagi supaya tidak mengganggu keindahan alam sekitar ke Gunung Tapis, mereka juga harus ingat bahawa ia juga adalah kawasan tadahan air untuk Kuantan. Bayangkan kesan jika tiada lagi kesan tadahan air,” katanya.

Sementara itu, Md. Sohami meminta kerajaan menghentikan sementara kegiatan pembalakan yang diberikan kebenaran kepada sebuah syarikat berkepentingan supaya kajian dapat dilaksanakan untuk melihat kesan penerokaan hutan bagi tujuan pertanian tersebut.

“Kalau didapati menjejaskan alam sekitar, khazanah alam dan produk pelancongan maka perlu dihentikan. Pada masa sama, buat penanaman semula pokok di 3,237 hektar hutan sudah ditebang untuk memulihkan semula kawasan itu bagi jangka masa panjang.

“Saya difahamkan kebenaran penerokaan hutan itu diberikan sejak 2011 bagi penanaman getah, namun sehingga kini belum ada sebarang kegiatan penanaman itu dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin ketika dihubungi berkata, kawasan berkenaan merupakan jalan balak lama yang dicuci semula untuk kerja-kerja pembalakan dan pihaknya akan mengambil tindakan segera kerana belum diluluskan.