Ketua rombongan, Rofi'atu Sa'dah Mansor Said berkata, kunjungan ke Malaysia khususnya di daerah ini adalah untuk mengukuhkan ukhuwah Islamiah dan insaniah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Katanya, kunjungan dakwah itu bertujuan membentuk wadah ikatan persaudaraan bagi umat Islam serumpun yang berada di pelbagai negara.

“Menyedari pentingnya ikatan ukhuwah ini mendorong kumpulan Qasidah Hubbul Mustaffa mengadakan kunjungan ke negara serumpun.

“Kunjungan sambil berdakwah ini melalui bait-bait lagu qasidah memuji keagungan Ilahi dan sirah Rasulullah SAW dapat menguatkan Islam wasatiyah sekali gus benteng menghalang kemaraan musuh Islam,” katanya selepas program Dakwah Serumpun Parlimen Maran di Masjid Asy-Syakirin di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Parlimen Maran itu dijayakan dengan kerjasama Majlis Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Maran, Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Masjid Asy-Syakirin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, program kunjungan dakwah yang membabitkan saudara seagama dari Indonesia perlu digalakkan dari semasa ke semasa.