Kehidupan Rizal yang dilahirkan pada 21 Jun 1979 menarik perhatian masyarakat setempat kerana mempunyai fizikal yang sangat kecil dan keletahnya seper­ti kanak-kanak.

Ibunya, Maheran Samad, 66, berkata, ketika dilahirkan di Hospital Mentakab, saiz Rizal yang merupakan anak bongsunya daripada lima beradik sangat kecil.

Katanya, walaupun proses tumbesaran badan Rizal yang mesra dengan panggilan Chik dalam kalangan keluarganya terbantut namun doktor memaklumkan dia tidak menghidap sebarang penyakit.

“Chik tidak boleh berdiri, bahagian belakang badannya ada bonggol dan kakinya bengkok. Malah dia tidak boleh bertutur seperti adik-beradik yang lain tetapi boleh memahami perbualan orang lain dan memberi res­pon apabila namanya dipanggil.

“Chik hanya boleh bergerak dengan mengengsot di dalam rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program Kunjung Kasih Persatuan Sahabat 60-an Felda Pahang yang diketuai Setiausaha Agungnya, Abd. Ghani Hashim di rumahnya, semalam.

Menurut Maheran, dia tidak pernah mengukur ketinggian Rizal kerana tidak pernah berdiri disebabkan fizikalnya dan berat badan anaknya itu adalah seper­ti kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun.

Katanya, Rizal gemar menghentak kakinya bagi menyuarakan kehendak dan perasaan terutama apabila berasa lapar yang mana makanannya adalah biskut, roti dan bubur nasi kerana dia tiada gigi.

“Dia kelihatan gembira jika ada orang mengunjunginya melalui reaksinya. Mimik mukanya yang riang kelihatan bertukar sedih apabila pengunjung mahu pulang dan dia bergerak ke muka pintu untuk 'menghantar tetamu pulang'.

“Dia rapat dengan arwah ayahnya yang meninggal dunia tiga minggu lepas,” ujarnya.

Maheran memberitahu, dia pernah kehilangan seorang anak bernama Rosli dan dikategorikan sebagai orang kerdil namun me­ninggal dunia tiga tahun lepas akibat kompli­kasi kencing manis.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Padang Lalang, Zainuddin Izharulhaz, 50, berkata, insan istimewa itu mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, JKM Temerloh diakan menaikkan bantuan sebulan berbanding sedia ada berikutan kematian bapa Rizal.

Timbalan Presiden Persatuan Sahabat 60-an Felda Pahang, Zakaria Mat Hassan pula memuji keluarga berkenaan kerana tidak mengambil peluang keistimewaan Chik untuk mengutip derma di jalanan dan menjaganya dengan baik.