MUHAMMAD AMRIN AMRAN membungkus dim sum kepada pelanggan di bazar Ramadan pekarangan Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, Pahang, baru-baru ini.

Muhammad Amrin Amran, 23, berkata, dia memilih dim sum kerana makanan itu kini menjadi kegemaran rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

“Saya membuat kejutan dan sedikit kelainan pada bulan Ramadan ini apabila menjual dim sum dan cuba bersaing de­ngan pasaran kuih-muih tempatan yang banyak di bazar Ramadan ini.

“Bahan untuk menghasilkan dim sum saya peroleh dan belajar daripada seorang chef Melayu tempatan di samping mempelajari daripada bahan bacaan khususnya penyediaan bahan halal dan bersih,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini baru-baru ini.

Muhammad Amrin berkata, dua bulan sebelum Ramadan, dia sudah membuat peranca­ngan untuk menjual dim sum sebagai juadah berbuka puasa.

“Sememangnya, saya suka men­cuba sesuatu (makanan) yang baharu khususnya dari kaum lain dan tidak salah sekiranya bahan dan cara pembuatannya halal serta jaminan kebersihan untuk pelanggan.

“Untuk bulan puasa ini, saya menjual dim sum halal yang mem­punyai pelbagai rasa berbeza dan enak seperti bengala dumpling, prawn dumpling, soya fish roll dan yaki noki siew mai,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana sam­butan pelanggan begitu memberangsangkan kerana mereka ingin mencuba kelazatan hida­ngan yang popular dalam kala­ngan masyarakat Cina itu.

“Pelanggan saya bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malah kaum Cina yang turut ingin merasa dim sum yang dibuat oleh saya,” katanya.