Yang Dipertua MDL, Datuk A. Rahman Hamzah berkata, sum­bangan beg plastik sampah itu antara usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut untuk menggalakkan peniaga dan pengunjung membuang sampah secara teratur semasa dan selepas operasi bazar berke­naan.

“Sumbangan ini adalah alternatif yang berkesan selain tanggungjawab peniaga perlu membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.

“Kita bukan sahaja mahu pe­niaga memasarkan juadah yang enak untuk berbuka puasa malah menitikberatkan aspek kebersihan makanan dan diri mereka yang terbabit secara langsung dengan perniagaan sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya selepas mengedarkan beg plastik sampah di pekara­ngan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini baru-baru ini.

Menurut A. Rahman, anggota penguatkuasa MDL dan Pejabat Kesihatan Lipis memantau semua peniaga bazar pada setiap petang bagi memastikan aspek kebersihan makanan dan diri diutamakan disamping pembuangan sampah semasa dan selepas operasi di bazar berke­naan.

“Usaha ini bagi memastikan imej bazar Ramadan di sini bersih kerana bandar ini se­tiap waktu menjadi transit ken­deraan dari Lembah Kelang ke Kelantan dan menjadi tumpuan persinggahan pelancong asing.

“Kita juga berharap peniaga dan pengunjung berfikiran kelas pertama terhadap aspek kebersihan dan keceriaan kerana ia merupakan amalan mulia sejajar dengan tuntutan agama Islam,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, sehingga ini tiada kes keracunan makanan dilaporkan berpunca daripada gerai bazar Ramadan yang beroperasi di lima lokasi PBT daerah ini.

“Anggota penguatkuasa yang bertugas di lokasi berkenaan bersedia menerima aduan orang ramai sekiranya wujud kecuaian kebersihan maka­nan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pe­ngunjung bazar Ramadan, Norlisa Khalimi, 33, berkata, dia berpuas hati dengan tahap kebersihan bazar dan makanan malahan peniaga sendiri komited dengan arahan serta panduan daripada MDL dan Pejabat Kesihatan Lipis.