Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rawai, Ngah Bidin berkata, komitmen tinggi dan kesepakatan yang diberikan JKKK dan penduduk setempat dalam menyertai program tersebut merupakan antara kunci utama kemenangan itu.

Katanya, program Anugerah Desa Perdana tahun ini merupakan yang pertama disertai kampung tersebut dan mereka masih belum berpuas hati dengan kejayaan tersebut kerana sasaran adalah mendapat tempat pertama.

“Kami cuba mencari kelainan dalam memajukan kampung antaranya ialah misi Membandarkan Desa Rawai dengan meletakkan beberapa matlamat dengan 12 aspirasi.

“Antara aspirasi yang dilaungkan ialah memastikan 10 anak jati Rawai memiliki ijazah kedoktoran menjelang 2020,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Pada majlis tersebut, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir menyampaikan hadiah.

Yang turut hadir ialah Pe­ngerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Borhan Dollah dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Pada majlis itu, Kampung Seri Mahkota, Kuantan dipilih sebagai pemenang Anugerah Desa Perdana bagi kategori kampung tradisional bagi negeri Pahang, manakala Kampung Baru Kemasik, Kemaman bagi negeri Terengganu dan Kampung Takang, Bachok pula dipilih sebagai juara bagi negeri Kelantan.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan akan menyertai pertandingan peringkat Kebangsaan di ibu negara pada 22 Ogos ini.

Menurut Ngah, kejayaan ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak sama ada di peringkat jabatan dan penduduk yang menitikberatkan aspek dalaman apabila bersepakat dalam membangunkan kampung ini.

“Kami akan terus berusaha bagi memastikan pelbagai kemudahan disediakan demi keselesaan penduduk.

"Sehingga kini sebanyak 60 peratus prasarana disediakan seperti perpustakaan, dewan orang ramai, sekolah, klinik dan masjid," jelasnya.