Baginda bertitah, dengan kos sara hidup yang meningkat dari semasa ke semasa menyebabkan keperluan golongan miskin juga terus meningkat dan perlu diberi perhatian.

“Purata statistik kemiskinan ini begitu membimbangkan yang mana kos kehidupan sudah me­ningkat menyebabkan golongan miskin pun meningkat khusus­nya di bandar-bandar besar.

“Jadi kita berharap kos ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan kos hidup yang meningkat,” titah ba­ginda dalam majlis pengurniaan sumbangan program Kembara Amal Kasih kepada golongan asnaf daerah Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penaung Ama­leens, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Timbalan Yang Dipertua Maj­lis Ugama Islam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 167 asnaf di daerah ini.

Menurut Tengku Abdullah, MUIP sentiasa memberikan perhatian dan komitmen yang tinggi dalam membantu golongan asnaf di seluruh negeri.

Katanya, setiap tahun MUIP berjaya mengutip purata RM100 juta bayaran zakat yang diagihkan kepada lapan golongan asnaf seperti fakir miskin dan fakir muallaf di seluruh negeri.

“Kesedaran pembayar zakat telah meningkat setahun ke setahun dan saya berdoa agar ramai lagi pembayar-pembayar zakat ini akan terus meningkatkan usa­ha mereka meneruskan pembayaran zakat dari tahun ke tahun.

“Malah menjadi tanggungja­wab MUIP menentukan agihan ini diberi dengan penuh saksama yang mana sehingga kini kita membelanjakan RM15 juta membiayai zakat fakir kepada kira-kira 3,000 miskin tegar,” katanya.

Sementara itu, baginda bertitah, penganjuran program Kembara Amal Kasih yang melibatkan pelbagai pihak termasuk artis sejak semalam di daerah ini amat signifikan dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Dalam pada itu, wakil artis, Datuk Seri Shah Redzaa berkata, seramai 20 artis menyertai program Kembara Amal Kasih secara sukarela sejak semalam.

Ujarnya, penyertaan golongan berkenaan adalah sebagai satu sumbangan kepada masyarakat dan juga tanda terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia.