Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzaman berkata, usaha itu dapat membantu kerajaan mempromosi daerah ini yang terkenal dengan pusat pelanco­ngan Taman Negara Kuala Tahan yang kerap dikunjungi pelawat dari seluruh dunia.

Beliau berkata, makanan tempatan berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman diakui mempunyai keunikan dan lazat, jadi sesuai dijadikan juadah berbuka puasa, sajian di hotel dan tempat tum­puan ramai pelancong.

“Sepanjang bulan Ramadan, peniaga berpeluang menjual juadah berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman kerana sinonim dengan selera orang ramai serta pengunjung yang singgah di bazar bandar ini.

“Bagi pelancong asing, mereka juga dapat menikmati masakan Melayu Pahang yang memang dikenali khususnya makanan berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Wan Norizan, di daerah ini, terdapat pelbagai makanan tradisional seperti gulai asam tempoyak, ikan salai, pais ikan, asam rom, asam belimbing hitam dan kuih-muih untuk promosi dan jualan pada bulan Ramadan ini.

“Saya yakin pengunjung yang singgah di sini akan memilih masakan tempatan ketika berbuka puasa dan bersahur sesama ahli keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, selain dapat menjana pendapatan, peniaga juga perlu memastikan harga makanan yang dijual tidak membebankan dan menitikberatkan kebersihan.