Kejayaan tersebut ternyata lebih manis apabila pasukan Ba­wah 18 Tahun pula muncul naib johan sekali gus pasukan itu dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan kali ini.

Jurulatihnya, Muhammad Sad­ruddin Saifuddin berkata, kejayaan menyingkirkan Rompin selaku juara bertahan amat membanggakan apatah lagi beraksi di laman sendiri.

“Tahun lepas kita hanya menduduki tempat ketiga. Kami meletakkan misi untuk muncul juara pada edisi kali ini dan kami bersyu­kur kerana ia menjadi kenyataan.

“Kita mempunyai pemain yang berpengalaman kerana ada yang pernah bermain pada tahun lepas,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Muhammad Sadru­ddin, pemilihan pemain pasukan itu dibuat ketika pertandingan peringkat daerah pada 31 Januari lalu dan 12 pemain dipilih untuk menjalani latihan pusat.

“Saya lihat semua pemain bersungguh-sungguh untuk menjadi johan pada tahun ini biarpun agak kecewa setelah pasukan Bawah 18 Tahun tewas kepada Kuantan pada perlawanan akhir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan negeri, Jalaluddin Ismail berkata, lebih banyak sekolah perlu menyertai pertandingan di peringkat daerah untuk mengenal pasti bakat pelajar dalam sukan itu.

“Kita harap pengurusan sekolah menjadikan permainan ragbi sebagai sukan utama setanding dengan bola sepak agar lebih ramai bakat pelajar dapat dicungkil untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.