Selaku juara bertahan, Jerantut tidak rela piala berkenaan bertukar tangan apabila berdepan Kuantan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Ketua jurulatihnya, Ahmad Nazri Mat Noor berkata, pasukannya sudah bersedia untuk memberi persembahan terbaik pada perlawanan akhir itu.

“Kita sudah membuat persiapan rapi untuk berdepan Kuantan kerana pernah tewas 1-4 pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

“Kami tidak mahu tewas buat kali kedua demi maruah bola sepak Jerantut dan semua pemain harus beraksi dengan lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazri, aksi cemerlang ketika menewaskan Temerloh 6-1 pada perlawanan separuh akhir di stadium berkenaan baru-baru ini perlu diteruskan apabila menentang Kuantan nanti.

“Semua pemain juga perlu mempersiapkan diri dengan ketahanan fizikal dan mental biarpun kita mempunyai kelebihan selaku tuan rumah,” ujarnya.

Dia yakin dengan kemampuan jentera serangannya untuk manfaatkan peluang yang terhidang di hadapan gol dengan baik.

“Kita harap permainan dapat ditamatkan dalam masa 90 minit tetapi kita tetap membuat latihan sepakan penalti sebagai persiapan sekiranya perlawanan terikat dengan keputusan seri,” jelasnya.

Tambahnya, diharapkan semua pemain tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi kelebihan kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

Jerantut layak ke pentas akhir selepas menewaskan Temerloh dengan agregat 8-5 manakala Kuantan menundukkan Pekan 3-1.

Pada perlawanan akhir tahun lalu, Jerantut membenam Temerloh 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga berakhir masa tambahan. - UTUSAN ONLINE