Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, pemilihan empat anak jati daerah ini mewakili Pahang ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak menjadi titik permulaan pembangunan sukan berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat, saya teruja apabila empat atlet Muay Thai dipilih membawa cabaran pasukan Tok Gajah untuk berentap di Sukma kali ini.

“Mereka berlatih hampir lapan bulan di sini sebagai persediaan untuk mengharumkan nama Jerantut dan Pahang dalam sukan Muay Thai,” katanya kepada pemberita dalam majlis penyerahan sumbangan kepada skuad Muay Thai di sini, malam kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri menye­rahkan sumbangan wang tunai, makanan kesihatan dan beberapa barangan keperluan kepada semua atlet serta pegawai terlibat.

Menurut Nazri, pemilihan keempat-empat atlet berkenaan akan menarik lebih ramai golo­ngan belia termasuk di daerah ini untuk menceburi sukan ekstrem itu.

“Saya difahamkan, kita memiliki seorang atlet iaitu Muhamad Rais Junaidi yang berpotensi menghadiahkan pingat emas kepada Pahang dalam kategori 54 kilogram berdasarkan pengalamannya yang pernah muncul juara dunia pada 2014.

“Tiga lagi atlet yang bakal membawa cabaran Pahang ialah Haikal Hakimi Afendi dalam kategori 63.5 kilogram, Atirah Bidin (45 kilogram) dan Alia Amani Yusri (54 kilogram),” katanya.

Tambah beliau, perbincangan lebih lanjut tentang pembangunan sukan berkenaan di daerah ini akan diadakan selepas mereka pulang dari Perak.

“Saya mahu daerah ini menjadi kilang kepada atlet Muay Thai seperti Temerloh yang melahirkan atlet silat dan Rompin dalam sukan angkat berat,” ujarnya.