Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, sebanyak 2,905 kes direkodkan dalam tempoh tersebut pada tahun ini berbanding 2,887 kes dalam sembilan bulan pertama tahun lepas.

Bagaimanapun, kata beliau, secara keseluruhannya kea­da­an jenayah di negeri ini adalah terkawal.

“Pada masa sama, saya berharap pelaksanaan inisiatif me­ngurangkan jenayah perlu sentiasa dipertingkatkan menerusi elemen-elemen penugasan di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta operasi-operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi luar dan jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Azri Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisio­ner Othman Nanyan.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan surat perhargaan kepada seramai 50 anggota polis dan awam bagi menghargai sumbangan perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Rosli berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, didapati seramai 86 orang terdiri daripada pegawai kanan, anggota dan pegawai awam di kontijen polis Pahang terlibat dengan pelbagai kesalahan serta tatatertib.

Daripada jumlah itu, kata beliau, seramai 66 orang terlibat dengan kesalahan tatatertib manakala 13 anggota didapati terlibat dalam kes penagihan serta penyalahgunaan dadah.

Beliau mengingatkan kepada semua ketua jabatan dan ketua polis daerah supaya sentiasa memberi perhatian serius terhadap masalah penagihan dan pe­nyalahgunaan dadah dalam kalangan warga PDRM yang mana tiada tolak ansur terhadap kesalahan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, perhimpunan bulanan polis kontijen negeri hari ini agak istimewa kerana kawalan kehormatan diser­tai oleh 63 pegawai dan anggota polis wanita.

“Kebiasaannya kawalan kehormatan ini disertai oleh kakita­ngan anggota polis lelaki. Tujuan kita adalah untuk menunjukkan bahawa golongan wanita juga mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang sama seperti golo­ngan lelaki,” katanya.