Calon BN bagi kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, keadaan itu juga menyebabkan ramai dalam kalangan orang Melayu kini menjawat pelbagai jawatan penting sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Malah, kata Ahmad Nazlan, beliau sendiri yang datang dari keluar­ga miskin juga dibantu, dengan anak-anaknya dapat me­lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan bantuan biasiswa Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhid­matan Awam (JPA).

“Semua bantuan ini adalah usaha kerajaan BN. Kita tidak boleh nafikan sumbangan besar kerajaan BN. Banyak agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan seperti Mara, Petronas dan banyak lagi, semuanya adalah untuk masa depan rakyat.

“Apa yang dilakukan adalah untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan hidup. Malah, saya sendiri tidak pernah terfikir bahawa anak-anak saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Ziarah Kasih BN Parlimen Jerantut di sini hari ini. Pada program tersebut, Ahmad Nazlan melawat warga emas dan orang kurang upaya sambil menyampaikan bantuan.

Program bulanan itu merupakan kesinambungan sejak empat tahun lalu.

Menurut beliau, gabungan pembangkang belum tentu dapat melaksanakan agensi pendidikan seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan BN.

Beliau berkata, pengundi juga diminta tidak mudah terpedaya dengan apa jua bentuk janji popu­lis pembangkang kerana untuk mentadbir sebuah kerajaan bukan sesuatu yang mudah hanya dengan pelbagai janji manis.

“Kerajaan BN tidak janji kosong. Kita berjanji berdasarkan kemampuan dan bukan janji kosong atau janji populis,” katanya.