Adiguru Norhaiza Noordin berkata, sebagai seni warisan negara, telepuk merupakan seni paling tinggi dalam seni tekstil.

“Saya tidak boleh terima apabila ada pihak mengatakan seni telepuk telah pupus. Oleh itu, saya terpanggil bila Perbadanan Muzium Negeri Pahang me­nganjurkan bengkel telepuk bagi memartabatkan seni wari­san negara ini.

“Saya akan terus berusaha untuk memartabatkan warisan kesenian Melayu termasuk seni telepuk. Pelbagai bengkel telah saya dianjurkan untuk menghidupkan kembali seni telepuk agar tidak terus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui pembe­rita pada bengkel telepuk di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan di sini semalam.

Norhaiza berkata, berdasarkan sejarah, terdapat dua teknik menghasilkan kain telepuk iaitu dengan menggunakan serbuk perada atau air emas untuk melukis corak diingini di atas kain seperti diamalkan di Indonesia.

Teknik kedua pula katanya, adalah mengecap dengan menggunakan cap telepuk yang disaluti gam dan dicapkan di atas kain yang telah digerus sebelum kertas emas dilekatkan serta ditepuk ke atasnya untuk menghasilkan motif emas yang unik. 

“Proses ini mungkin nampak mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan ketekunan dan ketelitian yang tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd. Yunus berkata, sebagai seni warisan tertua negara sekitar abad ke-17, telepuk tidak boleh dibiarkan pupus.

“Apa saya harapkan penganjuran bengkel seperti ini akan mengangkat balik telepuk sebagai warisan seni negara supaya tidak lenyap ditelan zaman,” katanya.