Nur Husna Karmyla, 20, berkata, kejayaan dalam bidang produk makanan itu merupakan berkat kesungguhannya tanpa mengenal jemu khususnya ketika berdepan cabaran serta persaingan dalam bidang pembuatan serta pasaran makanan itu.

Katanya, dia mula meminati bidang itu ketika membantu ibu­nya, Noor Mala Abdul Kadir, 44, membuat serta memasarkan pro­duk makanan tersebut sejak tiga tahun lalu.

“Saya perlu berdikari kerana pendapatan ayah, Mohd. Fuzaimi Ghazali, 47, sebagai pemandu lori tidak seberapa dan masih menanggung persekolahannya serta tiga beradik yang lain.

“Selepas tamat tingkatan lima dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang agak cemerlang, saya me­ngubah haluan hidup dengan melupakan hasrat untuk menyam­bung pelajaran ke peringkat tinggi, sebaliknya nekad untuk menceburi bidang keusahawanan dengan membuka premis sendiri,” katanya selepas majlis perasmian Kedai Khalis Bakery yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad, di Bandar Lama Kuala Lipis baru-baru ini.

Nur Husna Karmyla berkata, kesungguhan ibunya mengusahakan perniagaan kek dan roti di premis Medan Stesen Kuala Lipis di sini sejak 2002 membakar semangatnya untuk bergiat sebagai usahawan makanan.

“Berasaskan minat serta untuk menajamkan kemahiran bidang ini, saya telah menyertai kursus ‘Chef Cake and Bake’ di bawah pengendalian sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama enam bulan di bandar ini.

“Selepas kursus atas dorongan ibu, dengan bantuan modal terkumpul, saya pun memulakan operasi membuat serta pasaran kek, pastri dan biskut di Kedai Khalis Bakery di Bandar Lama di sini,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah memiliki kemahiran membuat pelbagai jenis kek, pastri dan biskut, tetapi nasihat serta tunjuk ajar ibunya masih diperlukan untuk memantapkan pembuatan produk dan pengurusan pasaran makanan itu.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, sehingga kini dia dibantu oleh tiga orang pekerja bagi menguruskan perniagaan setiap hari.

“Alhamdulillah, berkat sokongan ibu bapa serta keyakinan diri, saya memperoleh pendapatan sendiri serta memiliki sebuah premis perniagaan di sini,” katanya.