Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyediakan reka bentuk jambatan bersesuaian dan menepati ciri-ciri moden serta teknologi terkini yang dapat menampung aliran trafik yang meningkat.

“Jambatan kedua Temerloh daripada dua lorong kepada empat lorong ini akan memberi lebih keselesaan serta kese­lamatan kepada pengguna sekali gus melancarkan aliran trafik di sini.

“Laluan ke jambatan Temerloh sering berlaku kesesakan serius terutama pada sebelah pagi dan petang selepas waktu pejabat serta semakin me­runcing setiap kali pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan projek menggantikan jambatan Sungai Semantan daripada JKR negeri kepada kementeriannya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr. Roslan Md. Taha dan Timbalan Pengarah Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Othman Nordin.

Mohd. Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, tiga lagi projek pembinaan jambatan baharu di daerah ini ialah jambatan Sungai Semantan dengan kos RM15.6 juta, Sungai Kawang (RM8.9 juta) dan jambatan Kuala Krau bernilai RM14.93 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, jambatan baharu Sungai Semantan sepanjang 100 meter siap sepenuhnya pada Selasa lalu dan membantu melancarkan aliran trafik Temerloh-Je­rantut.

“Jambatan ini bagi menggantikan yang lama dibina pada 1960 dan tidak sesuai dengan kepesatan bandar ini serta sekitarnya,” katanya.