Jambatan gantung sepanjang 40 meter yang melintasi laluan aliran air terjun ke Sungai Chamang itu memberi kemudahan kepada pengunjung untuk menyeberang selain menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan.

Pegawai Hutan Daerah, Shairani Mamat berkata, pembinaan jambatan berkenaan bagi menggantikan jambatan gantung lama yang uzur dan rosak.

“Kita bersyukur pembinaan jambatan gantung ini yang me­ngambil masa lapan minggu dapat disiapkan sepenuhnya pada 20 Oktober lalu.

“Pembinaannya diharapkan da­pat memberi kemudahan kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam sekitar di sini dan menyeberang laluan air terjun bagi melakukan pelbagai aktiviti dengan selamat serta selesa,” katanya dalam majlis penyerahan jambatan gantung tersebut baru-baru ini.

Majlis itu, beliau yang mewakili Jabatan Hutan Bentong menerima jambatan berkenaan daripada Penolong Jurutera Kanan Jabatan Hutan negeri, Abdul Khalid Kamarudin.

Menurutnya, jambatan gantung tersebut yang dibina kontraktor tempatan disahkan me­ngikut spesifikasi keselamatan ditetapkan dan selamat untuk digunakan.

Katanya, bahan binaan yang digunakan adalah berkualiti iaitu menggunakan kayu cengal gred A yang dapat bertahan dalam pelbagai keadaan cuaca.

Dalam pada itu, beliau berkata, Air Terjun Chamang yang di­uruskan oleh Jabatan Hutan mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan purata 1,000 pengunjung setiap hari.

Katanya, air terjun yang dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu mempunyai pelbagai kemudahan dan dipantau dari segi aspek keselamatan oleh Jabatan Hutan.