Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokthar berkata, cara berpakaian dan keselamatan perlu dititikberatkan agar ia tidak menimbulkan isu negatif pada masa akan datang.

“Kalau ada peserta mengenakan pakaian mencolok mata, kita tidak teragak-agak untuk tidak membenarkan acara atau program itu dilaksanakan.

“Penganjur perlu memastikan tiada perkara negatif berlaku sepanjang acara tersebut berlangsung dan mematuhi etika berpakaian yang sepatutnya,” katanya dalam sidang akhbar tentang acara itu, di sini kelmarin.

Acara berkenaan melibatkan kerjasama antara Just Farmasi dengan Tourism Pahang pertama kali dianjurkan di Pantai Timur.

Ishak berkata, acara unik itu mampu menarik lebih ramai pe­ngunjung datang ke negeri ini bersempena tahun Melawat Pahang 2017.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan warga Malaysia untuk bersenam dengan lebih seronok, berbeza dan merupakan satu aktiviti beriadah.

“Saya percaya ramai yang akan mengambil bahagian dalam acara yang menyeronokkan ini dan tidak membahayakan selain dapat menyihatkan badan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur program itu, Esther Fong Vie Nie berkata, pihaknya menyasarkan lebih 3,000 peserta menyertai acara ekstrem terbabit.

Menurutnya, program kali per­tama diadakan di Pantai Timur dengan menggunakan belon inflatable terbesar di Malaysia memberi satu cabaran baharu buat individu atau kumpulan yang bakal menyertainya.

Katanya, aktiviti lasak tersebut dibina dengan 12 cabaran unik dan menyeronokkan kepada peserta.

“Setiap cabaran mempunyai bentuk berbeza dan memerlukan kekuatan fizikal peserta untuk merangkak, melompat, berlari dan memanjat bagi melengkapkan acara itu.

“Cabaran paling ekstrem adalah The Gigantor yang merupakan gelongsor belon tertinggi di negara ini menyebabkan peserta berasa gementar dan seronok,” katanya.

Tiket untuk menyertai program tersebut adalah RM49 dan mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web www.extremeinflatablechallenge.com atau datang ke Just Farmasi.