Penyelaras Program Seminar Cara Mudah Fahami Al-Quran, Mohd. Rozamli Mohd. Razak berkata, al-Quran tidak seharus­nya dijadikan penawar semata-ma­ta tetapi menggunakan segala kelebihan yang dimiliki kitab suci itu.

“Melalui kaedah tersebut pengamal dan pembaca al-Quran tidak hanya bertindak membaca semata-mata malah memahami serta beramal untuk terus dijadikan petunjuk.

“Tidak perlu kita hendak belajar hingga ke tahap tertinggi tetapi tidak memahami maksud serta pengajaran daripada al-Quran,” katanya selepas Seminar Cara Mudah Fahami Al-Quran, Kaedah Tadabbur Tazakkur anjuran Sekretariat Rumah Ngaji Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini baru- baru ini.

Seramai 195 peserta terlibat dalam program tersebut melibatkan guru-guru agama dan masyarakat setempat.

Program tersebut mengguna­kan kaedah Tadabbur dan Tazakhur sebagai cetusan untuk membawa masyarakat berinteraksi dengan al-Quran ketika membacanya.

Menurut Mohd. Rozamli, setiap umat Islam digalakkan memiliki al-Quran yang mempunyai terjemahan agar mesej yang disampaikan untuk dijadikan panduan serta pengajaran sampai kepada pembaca.

“Setelah memahami secara Ta­dabbur dengan jelas dan disusuli kaedah Tazakkur bermakna secara tidak langsung ia dapat mengawal dan membimbing kehidupan ma­­syarakat secara amnya.

“Melalui pendekatan ini ju­ga da­pat membawa kita memahami al-Quran untuk lebih diha­yati hinggakan ada sesetengah orang menitis air mata saat mengetahui isi kandungannya,” jelasnya.