Pengarah Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussain berkata, tumpuan diberikan kepada sektor pembangunan akuakultur untuk membolehkan aktiviti itu dirancakkan sekali gus menjana pendapatan penternak.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu pengusaha akuakultur seperti menyediakan peralatan penangkapan ikan, ia­itu jaring dan jaket keselamatan di bawah program Touch Point untuk meningkatkan jumlah pe­ngeluaran.

“Pendaratan ikan dari daerah ini mencatat sebanyak 16 tan yang membabitkan nilai seba­nyak RM0.81 juta daripada kese­luruhan iaitu 563 tan metrik dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Manakala, jumlah pengeluaran akuakultur di daerah ini dalam tempoh yang sama ialah sebanyak 176 tan metrik daripada 14,009 tan metrik di negeri ini,” katanya sempena Program Penyerahan Bantuan Kelengkapan Kepada Nelayan Darat (Touch Point), Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dan Penyerahan Bantuan Bencana El Nino Kepada Penternak Akuakultur Lipis, di Kampung Tempoyang, di sini kelmarin.

Penyerahan bantuan itu telah disempurnakan oleh wakil Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abu Jimi Samat.

Abu Jimi turut menyampaikan bantuan kelengkapan penangkapan ikan iaitu jaring dan jaket keselamatan kepada 50 nelayan darat di bawah program Touch Point.

Menurut Adnan, bantuan diharap dapat meringankan beban penternak akuakultur dalam tempoh pemulihan daripada impak bencana El Nino menerusi peruntukan khas di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tambahnya, Jabatan Perika­nan juga meminta nelayan darat dan penternak akuakultur supaya melaporkan hasil tangkapan mereka atau pendaratan ikan setiap bulan sebagai sebahagian program pemantauan.