Pengarahnya, Azahari Othman berkata, tukun tiruan itu berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning dan kembung selain udang serta sotong.

“Kajian mendapati pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tukun berkenaan sebagai habitat baharu selepas enam bulan dilabuhkan di kawasan tersebut,” katanya selepas operasi melabuhkan tukun tiruan di perairan Sungai Ular kelmarin.

Menurut Azahari, jarak tukun tiruan dengan pantai di kawasan tersebut ialah kira-kira 10 kilome­ter dan kedalaman laut lebih 15 meter manakala setiap tukun berada selang empat meter antara satu sama lain.

Selain dijadikan tempat pem­biakan pelbagai jenis ikan, kata­nya, tukun tiruan konkrit jenis kuboid berfungsi sebagai penghalang aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan di perairan negeri ini.

“Pukat tunda yang tersangkut pada tukun berbentuk empat segi itu akan pecah manakala tali penarik turut putus. Saya yakin selepas ini aktiviti pukat tunda membabitkan nelayan asing di perairan daerah ini dapat dikekang,” katanya.

Beliau berharap tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Su­ngai Ular dapat menambah pendapatan nelayan tempatan dan industri pelancongan bertambah rancak apabila ramai pemancing berkunjung ke situ.

Sejak 2006, katanya, jabatan itu membelanjakan kira-kira RM3 juta bagi menyediakan tukun tiruan jenis kiub, tetrapod, kiub juvenil dan kuboid di negeri ini membabitkan 207 unit di 12 lokasi di daerah ini, Pekan serta Rompin.

“Tahun lalu, jabatan melabuhkan 23 unit tukun tiruan konkrit jenis kuboid bernilai RM278,600 dengan setiap satu seberat lima tan di perairan Chempaka, Che­rok Paloh dan Pantai Sepat.

“Jabatan akan terus berusaha menyediakan lebih banyak tukun tiruan di perairan negeri ini bertujuan menambah taburan ikan selain menghalang aktiviti pukat tunda nelayan asing,” katanya.