Muhammad Safian Ismail

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, perlindungan insurans itu akan ditawarkan di kawasan yang berisiko banjir menerusi siri jelajah oleh pihak yang menguruskan insurans pada pertengahan bulan depan.

“Penduduk hanya perlu membayar RM10 untuk seisi keluarga manakala RM65 lagi akan ditanggung oleh kerajaan dengan tempoh perlindungan selama setahun.

“Jika terlibat dengan banjir, mereka akan diberikan pampasan sebanyak RM1,000 manakala RM10,000 pula akan dibayar kepada rumah yang mengalami kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang di sini, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Safian, satu lagi penambahan baharu yang akan dilakukan adalah penyediaan kit makanan permulaan seperti biskut untuk bekalan makanan awal.

Berdasarkan pengalaman, ka­tanya, kit makanan itu dapat mengelakkan mangsa banjir kelaparan sebelum bantuan sampai.

“Kit-kit ini akan dihantar ke pusat pemindahan dan proses penghantarannya diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.

Tambah beliau, bekalan keperluan makanan lain akan dihantar mulai hujung bulan depan dan dijangka dapat dihantar sepenuhnya ke pangkalan hadapan menjelang 10 November ini.

Berhubung persiapan lain, beliau berkata, jumlah pangkalan hadapan turut bertambah kepada 116 buah berbanding 107 tahun lepas manakala pusat pemindahan bertambah kepada 686 buah yang boleh menempatkan seramai 172,000 mangsa banjir dalam satu-satu masa berbanding 666 buah sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembekuan cuti bagi petugas kerajaan akan bermula minggu ketiga November hingga akhir Januari tahun depan.

“Bagi persediaan menghadapi kemungkinan banjir, seramai 5,000 petugas telah dikenal pasti yang mana 2,000 merupakan petugas tetap,” katanya.