Ismail Abd. Muttalib

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, pengumuman insentif yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sekali gus menghakis segala tohmahan, fitnah, pembohongan serta dakwaan pembangkang terhadap kerajaan dan pengurusan Felda.

Kata beliau, kemampuan memberi insentif berkenaan membuktikan Felda dan kerajaan tidak muflis tetapi masalah yang dihadapi warga peneroka sengaja diperbesarkan oleh pembangkang de­mi kepentingan politik.

“Pemberian insentif ini membuka mata semua pihak terma­suk segelintir peneroka yang se­ring menafikan usaha Felda dan kerajaan membela nasib mereka.

“Malah ada yang tidak menduga Perdana Menteri mengumumkan enam insentif secara serentak yang menggembirakan semua kelompok dalam masyarakat Felda,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah me­rasmikan Pesta Air Chenor, di sini semalam.

Pada majlis Sambutan Hari Pe­neroka Felda di Putrajaya minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda termasuk menerusi langkah pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas, geran khas serta insentif perumahan.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kerajaan meneliti semua sudut dan mengambil kira pelbagai perkara sebelum membuat sesuatu keputusan terutama berkaitan dasar serta kewangan.

Katanya, langkah diambil kerajaan berhubung pemberian enam insentif itu adalah untuk kebaikan warga peneroka dalam usaha meningkatkan ekonomi dan kehidupan mereka.